KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat 549 laman sesawang bersifat lucah dan bersifat sumbang dari Januari sehingga 1 Jun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam tempoh yang sama, 308 kandungan berunsur lucah dan 29 kandungan media sosial yang berunsur sumbang telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang telah dilakukan.
Jelasnya, langkah proaktif tindakan penurunan kandungan itu merupakan kerjasama platform media sosial seperti Tumblr, X, Telegram, Facebook, Instagram, WhatsApp, Tik Tok dan lain-lain berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam.
“Untuk pengiklanan produk makanan mengelirukan, pengiklanan, dan penjualan ubat tidak berdaftar, MCMC bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan penurunan kandungan dan sekatan laman sesawang. Kesemua permohonan yang diterima adalah berdasarkan kesalahan di bawah bidang kuasa pihak KKM.
“MCMC tidak mempunyai maklumat spesifik berhubung permohonan yang dibuat oleh pihak KKM berkaitan dengan ubat kuat namun secara umumnya, bagi tempoh 1 Januari sehingga 1 Jun tahun ini, sebanyak 19 laman sesawang disekat dan 23 kandungan diturunkan berdasarkan permohonan KKM,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-LUMUT) yang bertanya apakah tindakan diambil dengan tersiarnya video dan gambar lucah di dalam platform media sosial seperti Facebook dan Telegram yang kebanyakannya mempromosikan produk berkaitan seks dan ubat kuat seks.
Tambah Teo, keputusan untuk menurunkan sesuatu kandungan adalah berdasarkan penelitian terhadap terma dan syarat perkhidmatan serta standard komuniti yang dibangunkan penyedia platform.
“Penyedia platform yang berpangkalan di luar negara tidak tertakluk dengan nilai, norma masyarakat dan undang-undang Malaysia serta tidak memahami konteks tempatan dalam kerja penyederhanaan kandungan mereka.
“Pengguna media sosial perlu memahami bahawa algoritma media sosial menganalisis tingkah laku pengguna, kesesuaian kandungan, hantaran terkini, metrik penglibatan dan hubungan antara pengguna.
“Maklumat ini digunakan untuk menentukan apa kandungan yang akan dibekalkan dalam suapan berita atau laman utama pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE