fbpx

Liputan rangkaian 5G di seluruh negara capai lebih 81 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah pun mencapai 81.7 peratus liputan, setakat penghujung bulan lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penyediaan rangkaian 5G ini tidak hanya tertumpu di Kawasan berkepadatan tinggi dan bandar sahaja, memandangkan kira-kira 54 peratus daripada keseluruhan tapak rangkaian 5G yang telah dibangunkan turut meliputi kawasan separa bandar dan luar bandar.

Katanya, bagi negeri Perlis, capaian 5G telah pun mencecah 91.4 peratus liputan di kawasan berpenduduk, dan bagi kawasan Parlimen Padang Besar pula, liputan rangkaian telah mencecah 82 peratus.

“Bagi kawasan luar bandar yang lain, proses pemasangan peralatan 5G masih sedang dijalankan dan perkhidmatan 5G di lokaliti ini dijangka akan dapat dinikmati pada bulan Julai tahun ini.

“Kementerian Digital melalui agensinya Digital Nasional Berhad (DNB) sedang berkolaborasi dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak industri untuk mempromosi dan meningkatkan penggunaan 5G.

“Antara program yang telah dijalankan ialah ‘DNB X Shopee’ yang disokong oleh rangkaian 5G dan menerima lebih daripada 8,000 ‘live viewers’,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Tuan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) tentang sejauh mana Digital Nasional Berhad dan juga Kementerian merencana dan mempromosikan 5G di kawasan luar
bandar terutamanya di kampung-kampung sekitar Parlimen Padang Besar.

Tambah Gobind, selain itu, DNB melalui kerjasama dengan industri telah mengadakan Bengkel ‘Connected Industries Day: Transforming Manufacturing with 5G and AI’ yang bertujuan menggalakkan penggunaan penyelesaian digital dalam sektor pembuatan dan telah dihadiri lebih daripada 200 peserta.

Mengulas mengenai program-program lain, beliau berkata kementeriannya melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan mengadakan program eUsahawan untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.

“Untuk sasaran program eUsahawan pada tahun ini, MDEC akan melatih seramai 30,000 usahawan-usahawan mikro dan pelajar-pelajar IPT/TVET dengan sasaran jualan berjumlah RM35 juta.

“Bagi tahun 2022 hingga 2023 juga, sebanyak 199 pusat atau institusi komuniti telah diwujudkan di seluruh negara.

“Tahun ini, 100 Hab eUsahawan baru akan diwujudkan di lokasi-lokasi strategik seperti di universiti-universiti serta pusat-pusat komuniti lain di seluruh negara bagi membolehkan usahawan-usahawan tempatan menggunakan teknologi sedia ada untuk mendapat pendedahan mengenai teknik-teknik pemasaran digital,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI