KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad telah mengambil inisiatif membaik pulih Rumah Sepak Takraw Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terletak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Projek baik pulih yang menelan belanja kira-kira RM70,000 merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat itu menerusi LBS Foundation.
Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, fokus utama projek berkenaan adalah untuk membaik pulih dan menambah baik bangunan berusia lebih dari 50 tahun sekaligus mengekalkan reka bentuk kolonial British yang dianggap unik dan semakin pudar di negara ini.
Jelasnya, kerja-kerja membaik pulih bangunan berkenaan akan mengambil masa antara dua hingga ke tiga bulan.
“PDRM telah banyak menyumbang kepada negara dan sumbangan tersebut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia untuk hidup tenteram, aman dan damai.
“Oleh itu, LBS Foundation merasa terpanggil untuk menyumbang kepada PDRM. Kami berbesar hati untuk terlibat di dalam usaha untuk membantu pasukan sepak takraw PDRM melalui projek membaik pulih dan menambah baik rumah ini,”katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hock San berkata, pihaknya yakin dengan sumbangan itu ia dapat menaikkan semangat pasukan dengan persekitaran yang kondusif selaras dengan usaha mereka untuk konsisten mencapai kemenangan selanjutnya.
“Dengan berpaksikan empat nilai tunjang utama yang memberi tumpuan kepada aspek kemasyarakatan, kesihatan, pendidikan dan persekitaran, LBS Foundation kekal komited terhadap bantuan berterusan kepada komuniti yang memerlukan sekaligus memupuk perubahan yang positif.
“Kami berharap sumbangan sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah memberi inspirasi kepada individu dan organisasi untuk menyokong pasukan tempatan, sekali gus menjadi contoh positif kepada penglibatan dan pembangunan masyarakat,”ujarnya.
Terdahulu kata Hock San, LBS Foundation sentiasa konsisten membantu PDRM dalam pelbagai usaha amal seperti pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands (IPDCH), Pahang.
Selain itu katanya, LBS turut menyediakan kemudahan dan penginapan pejabat untuk balai polis di Bandar Saujana Putra, Selangor dan pembinaan Dewan Jaya LBS, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.
“Kolaborasi sebegini ini menunjukkan kepentingan jalinan kerjasama dan usaha tanggungjawab sosial korporat yang membawa manfaat kepada masyarakat,”katanya.-KOSMO! ONLINE