fbpx

Kursus integriti, antirasuah jadi mata pelajaran wajib di TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan bersetuju dengan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dijadikan mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju dengan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dijadikan mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara.

Persetujuan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil 2/2024 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Mei lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, pihknya peka dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET selari dengan keperluan revolusi industri 4.0 di mana banyak pertambahan peluang latihan dibuka kepada para pelajar.

Katanya, SPRM juga akan menyediakan tenaga pengajar Training of Trainers (TOT) dan pensyarah bagi modul-modul teknikal yang berkaitan dengan Akta SPRM 2009.

“Oleh itu modul KIAR ini dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan TVET sedia ada sebagai satu usaha berterusan untuk melahirkan tenaga kerja dan usahawan yang tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah.

“Terutama dalam urusan perniagaan bagi memastikan industri yang didokong oleh TVET terutamanya industri kecil dan sederhana tidak tercemar serta bebas dengan isu rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazlan lagi, inisiatif ini bukan sahaja selari dengan Strategi B8.1 Dasar TVET Negara 2030 iaitu peningkatan kemahiran insaniah dan nilai sosial termasuk elemen integriti serta anti rasuah.

Jelasnya, ia juga sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 iaitu Strategi 1 Substrategi 7 iaitu memperkenalkan pelaksanaan modul atau Kursus Integriti dan Antirasuah kepada pelatih TVET di institusi berkenaan.

“Sejak 2021, pihak SPRM telah melaksanakan pembelajaran KIAR ini bersama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah diikuti Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur dan Melaka di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Pelaksanaan KIAR ini kemudian diteruskan di 22 Institusi Latihan di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI