fbpx

KPM laksana inisiatif naikkan semangat guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (gambar) ketika ditemui pemberita di pasar malam Sungai Duri, Nibong Tebal, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Pelbagai inisiatif bersesuaian dilaksanakan bagi meningkatkan semangat guru yang sedang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil bagi memangkin motivasi golongan pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurutnya, antara mekanisme yang dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memberi semangat kepada mereka (guru) meliputi program bersifat psikometrik, sokongan dan dokongan serta pengurusan berkaitan kenaikan pangkat.

“Walaupun begitu, kita menghargai pilihan guru yang memilih untuk bersara awal atas pelbagai alasan.

“Guru yang hendak bersara awal ini pun maknanya mereka memilih untuk bersara awal atas alasan-alasan kuat, seperti kesihatan, tak berminat dan alasan keluarga yang saya fikir ruang itu pun kita beri sepenuhnya kepada guru-guru kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang diambil KPM bagi mengatasi isu guru bersara awal. Terdahulu, beliau menyantuni peniaga pasar malam di Sungai Duri, di sini petang tadi.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, yakin isu berkenaan tidak akan merencatkan sistem pendidikan negara.

“Saya tidak rasa begitu (merencatkan), kerana isu (bersara awal) ini adalah isu yang datang dan pergi sebenarnya.

“Setiap tahun memang akan ada guru guru bersara sama ada bersara wajib atau bersara pilihan tetapi intervemsi yang kita lakukan di peringkat kementerian sangat penting khususnya kerjasama erat kita dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah telah menunjukkan hasil bagi saya memberangsangkan.

“Pengisian guru setakat ini seluruh negara adalah 98 peratus, jadi kita telah selesaikan banyak khususnya semasa ada aduan di peringkat kekurangan guru di Sarawak dan kita telah mengisi kekosongan itu dan ia berlangsung di seluruh negara dengan kerjasama erat daripada SPP,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI