KUALA LUMPUR – Koperasi Lembaga Getah Malaysia Berhad (Kopget) kini bertindak sebagai penasihat bagi urusan dan kemusykilan mengenai koperasi selepas berjaya memperoleh sijil patuh syariah baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Operasi, Datuk Ewon Benedick telah berkata, Kopget turut menawarkan pinjaman yang tidak membebankan dengan kadar faedah munasabah kepada anggotanya.
Katanya, ia sebagai mengambil contoh yang dilakukan koperasi patuh syariah di Jakarta, Benteng Mikro Indonesia (BMI).
“BMI mengutamakan penyediaan kemudahan pinjaman, pembiayaan dan simpanan kepada anggotanya yang merupakan usahawan mikro.
“Ia bukan sahaja membantu anggotanya melalui perniagaan, malah memberi fokus meningkatkan kemandirian dan kesejahteraan anggota,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Logo Koperasi dan Pemasyhuran serta Penyampaian Sijil Pematuhan Syariah Kopget di Hotel Renaissance, sini semalam.
Menurut Ewon, antara tawaran Kopget termasuk memiliki rumah, kenderaan, menunaikan haji dan umrah serta akses kepada air bersih melalui lima teras iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan spiritual.
Sementara itu, Pengerusi Kopget, Muhd. Fandy Zainal Abidin berkata, sijil patuh syariah itu diperoleh daripada Tawafuq Consultancy Sdn. Bhd.
“Kita mula tawarkan pinjaman ihsan dan kenderaan kepada anggota pada 19 Mei lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE