BERLIN – Pengendali Austria, Ralf Rangnick mula memasang impian besar untuk menyaksikan pasukannya melakar sejarah bergelar juara Euro 2024 selepas muncul juara Kumpulan D dengan menewaskan Belanda 3-2 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Olimpik itu, Austria yang menduduki ranking ke-25 dunia mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri dengan meraih gol menerusi jaringan sendiri Donyell Malen, Romano Schmid dan Marcel Sabitzer.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Austria melakar kejutan menjuarai ‘kumpulan maut’ dengan enam mata selepas Perancis sekadar muncul naib juara apabila seri 1-1 bertemu Poland semalam.
Kata Rangnick, kejayaan itu menyaksikan skuad Das Team wajar dilabel antara pilihan untuk bergelar juara tetapi dalam masa yang sama barisan pemain perlu berpijak di bumi nyata.
“Saya sudah katakan sejak beberapa bulan lepas bahawa kami akan tampil serius pada kejohanan Euro kali ini. Jika ada yang mahu nafikan kebangkitan Austria, saya akan bangkang kerana pemain optimis untuk melangkah sejauh mungkin.
“Sebagai bukti, bukan mudah untuk bergelar juara kumpulan apabila kita diundi dalam kumpulan yang sama dengan negara seperti Perancis dan Belanda,” kata bekas pengurus Manchester United itu.
Sementara itu, Sabitzer yang juga tonggak Borussia Dortmund mengakui sangat lega apabila dapat menjadi wira pasukan dengan meledak gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan.
“Prestasi saya tidak begitu baik di peringkat kelab sejak beberapa bulan lepas tetapi kali ini saya fokus bersama skuad kebangsaan dan gembira dapat membantu pasukan melakar kejayaan,” katanya. – AGENSI