SEOUL – Semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan digantung selama tiga jam pagi Rabu semalam akibat gangguan belon berisi sampah yang dilancarkan Korea Utara, lapor laman berita NHK News.
Pelancaran terbaharu itu dikatakan boleh membahayakan pesawat komersial.
Pengendali lapangan terbang tersebut, Incheon International Airport Corporation berkata, pihaknya menggantung semua penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang utama Korea Selatan itu dari pukul 1.46 pagi hingga 4.44 pagi (waktu tempatan).
“Sebuah belon sampah mendarat di Terminal 2, Pintu 248 sekitar pukul 4.08 pagi (waktu tempatan) semalam,” kata seorang jurucakap lapangan terbang itu.
Menurut Ketua Staf Bersama Seoul, Korea Utara menghantar sebanyak 250 belon sampah dalam tempoh semalaman dan 100 daripadanya mendarat di Seoul dan wilayah utara, Gyeonggi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon terletak di pantai barat Korea Selatan, tidak jauh dari sempadan Korea Utara.
Pelancaran belon sampah semalam merupakan yang keenam oleh Korea Utara sejak akhir Mei lalu, sebagai tindak balas terhadap penghantaran risalah anti-Pyongyang oleh oleh aktivis Korea Selatan. – AGENSI