fbpx

K2

Adakah pasangan IVF perlu mandi wajib?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menerusi IVF, telur dan sperma akan disenyawakan di dalam makmal.- Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya dan pasangan telah melakukan kaedah IVF bagi mendapatkan anak. Persoalannya, semasa proses mengeluarkan telur (ovum/sperma) daripada pasangan masing-masing mahupun setelah memasukkan semula ke rahim wanita, adakah kami perlu mandi wajib? Mohon pencerahan.

Jawapan: Kaedah IVF perlu melalui proses untuk mengeluarkan telur (ovum/sperma) bagi lelaki dan wanita. Terdapat kaedah yang berbeza bagi mendapatkan benih telur seperti berikut:
1. Kaedah mengeluarkan ovum bagi wanita dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) iaitu tidak melibatkan keluar air mani, maka tidak perlu mandi wajib.
2. Kaedah untuk mengeluarkan sperma bagi lelaki melalui dua cara; kaedah masturbasi yang menyebabkan keluar air mani, maka perlu mandi wajib.

Kaedah pembedahan kecil iaitu proses mengeluarkan secebis tisu daripada zakar dan mengekstrak untuk mendapatkan sperma yang hidup.

Kaedah prosedur ini tidak menyebabkan keluar air mani, maka tidak perlu mandi wajib.

Proses IVF bermula dengan sperma lelaki dan telur wanita dikeluarkan dari tubuh badan dan disenyawakan di dalam makmal.

Menurut pakar, kaedah pengambilan ovum daripada ovari wanita melalui kaedah suntikan ovum (oocye retrieval).

Kaedah oocye retrieval adalah pengambilan oosit dilakukan untuk mengeluarkan telur dari ovari.

Jarum disalurkan melalui bahagian atas faraj di bawah bimbingan ultrasound untuk sampai ke ovari dan folikel.

Cecair dalam folikel disedut melalui jarum dan keluar daripada ovari. Sebaik sahaja telur diambil daripada ovari, ia boleh disenyawakan di makmal. Kemudian embrio diletakkan di dalam rahim wanita.

Selain itu, terdapat dua cara mengeluarkan sperma iaitu dengan cara masturbasi dan kaedah pembedahan kecil iaitu satu proses mengeluarkan secebis tisu dari buah zakar dan mengekstrak untuk mendapatkan sperma.

Namun, kaedah dengan cara masturbasi lebih selamat berbanding kaedah pembedahan kecil yang memberi risiko.

Junub dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj. Apabila bertemu dua khitan (zakar dan faraj), maka perlu mandi wajib, walaupun tidak inzal berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA.anha, bahawa

Rasulullah SAW bersabda : “Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) bertemu, maka wajib mandi walaupun tidak inzal (keluar air mani).” (Riwayat Muslim)

Seterusnya, keluar mani dengan cara yang biasa atau apa-apa cara.
Inzal mani daripada tempat kebiasaan keluar dalam keadaan bersyahwat mahupun tidak. Begitu juga dalam keadaan dia sedar atau tidak, maka ia perlu mandi wajib.

Ini berdasarkan hadis daripada Sa’id Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya (mandi) air itu kerana disebabkan keluar air mani.” (Riwayat Muslim, 343)

Selain itu, terdapat satu lagi riwayat daripada Ummu Salamah RA berkata bahawa Ummu Sulaim berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, bahawa Allah SWT tidak malu menyatakan kebenaran, adakah wajib (mandi junub) bagi wanita yang bermimpi? Lalu Baginda menjawab: Ya, sekiranya dia nampak air (mani).” (Riwayat Bukhari, 6091).

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah IVF yang perlu melalui proses (pick up ovum) bagi wanita dengan suntikan jarum tidak termasuk dalam situasi ‘janabah’ mahupun ‘mengeluarkan air mani’, maka ia tidak perlu mandi wajib.
Sementara itu, pengambilan sperma menggunakan kaedah ‘masturbate’ bagi usaha mendapatkan sperma melalui air mani, maka ia perlu mandi wajib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI