fbpx

7 ahli sindiket along ‘hisap darah’ di empat negeri diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINDIKET along menggunakan pelbagai nama samaran termasuk Yati Lee bagi mendapatkan pelanggan menerusi iklan di Facebook.

MELAKA – Tujuh ahli sindiket along yang mengenakan kadar faedah mencecah 20 peratus bagi setiap minggu berjaya dikesan dan diberkas polis dalam serbuan Op Vulture di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, di sini, kelmarin.

Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 48 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 12.40 tengah hari oleh sepasukan polis dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan peminjam dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ujarnya, perkhidmatan tersebut diiklankan di laman sosial Facebook dengan tawaran pinjaman bermula RM500 sehingga RM5,000.

“Sindiket mengiklan tawaran pinjaman wang di laman sosial Facebook menggunakan nama profile Ling Ai, Yati Lee, Vivian Tan dan Nicole Len. .

“Faedah yang dikenakan antara 10 sehingga 20 peratus seminggu dan bayaran balik pinjaman dibuat melalui akaun sindiket yang dipercayai menggunakan akaun Mule,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sindiket itu akan menghubungi pelanggan yang berminat melalui panggilan WhatsApp sebelum pemindahan wang dibuat ke dalam akaun peminjam.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat kesemua suspek mendakwa hanya mengambil upah mencari pelanggan dengan bayaran antara RM1,500 sehingga RM3,000 diterima, bergantung kepada pangkat serta komisyen mengikut jumlah pinjaman.

“Semakan lanjut mendapati lima daripada suspek masing-masing mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan kes dadah, kes tipu dan judi.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 29 Jun ini dan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI