fbpx

12 hari kembara backpacker di Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS sempat singgah di Tehran Grand Bazaar, manakala gambar kanan SISA monumen yang terdapat di Persepolis iaitu kota lama Parsi.

SEHINGGA hari ini, tiada lagi penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Tehran, Iran.

Oleh itu, saya menaiki pesawat Qatar Airways dan transit di Doha, Qatar selama sejam sebelum tiba di Tehran untuk lawatan selama 12 hari.

Selepas tiba di lapangan terbang di Tehran, saya disambut baik oleh orang-orang awam di sana.

Ada yang teman saya sehingga selamat ke hostel, ada juga tawar untuk bawa saya pusing-pusing Tehran pada waktu malam.

Di Tehran, saya mengambil kesempatan untuk melawat Istana Golestan iaitu salah satu tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Istana Golestan merupakan karya agung era Qajar yang memperlihatkan keindahan seni bina Parsi terdahulu dengan pengaruh Barat.

Setelah selesai, saya ke jambatan Tabiat untuk melihat pemandangan indah gunung bersalji, Menara Azadi, Menara Milad, Tehran Grand Bazaar dan bekas kedutaan Amerika Syarikat.

Saya juga mencuba makanan tempatan di restoran Muslim di tengah bandar Tehran. Selepas beberapa hari di Tehran, saya menaiki kereta api semalaman dari Tehran ke bandar kegemaran iaitu Shiraz.

Perjalanan kereta api itu mengambil masa selama 16 jam, tetapi pemandangan ladang hijau, padang pasir, gunung dan ngarai berbatu sungguh menakjubkan.

Tempat yang mesti dilawati di Shiraz adalah Masjid Nasir al-Mulk (masjid merah jambu) yang dibina pada tahun 1888.

Selain itu, saya sempat melawat Eram Garden, Vakil Mosque dan bazar dan Maharlu Lake (tasik merah jambu).

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk melawat Persepolis iaitu ibu kota Achaemenid semasa empayar Parsi zaman dahulu.

Masjid pink.

Selepas melawat Shiraz, saya melanjutkan perjalanan ke Yazd.

Walaupun tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, namun bandar lama berkenaan sangat cantik dan menenangkan.

Di Yazd, saya sempat pergi ke salah satu kuil tertua di dunia, Zoroastrianisme yang masih wujud sehingga hari ini.

Biasanya, pengembara datang ke Yazd untuk tinggal di padang pasir, tetapi saya tidak berkesempatan berbuat demikian.

Perhentian terakhir saya adalah bandar budaya Iran iaitu Isfahan.

Di bandar ini, saya dapat melihat banyak seni bina Parsi Islam yang indah terutamanya di Dataran Naqsh-e-Jahan.

Di sekeliling dataran ini terdapat satu masjid terkemuka iaitu Masjid Shah.

Memandangkan kebanyakan rakyat Iran menghadapi kesukaran untuk melancong ke luar negara, maka mereka lebih gemar melancong secara domestik.

Jadi, ramai penduduk tempatan berkelah di sekitar dataran dan jambatan Khajoo.

Tempat ini kelihatan lebih cantik ketika matahari terbenam dan waktu malam kerana warna kuning lampu di sekeliling jambatan.

Bagi yang berminat untuk mengetahui tentang kedatangan Islam ke Iran, mereka boleh melawat Istana Chehel Sotoon.

Di bandar ini juga terdapat sebatang jalan yang dinamakan sempena ibu negara kita iaitu Jalan Kuala Lumpur.

Trip kali ini membuka mata saya terhadap suasana Iran sebenar yang sangat bercanggah dengan naratif media Barat. Satu tip penting untuk semua, kad kredit tidak boleh digunakan di sini kerana Iran dikenakan sekatan oleh negara Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI