WELLINGTON – Seorang wanita di New Zealand menyaman teman lelakinya kerana gagal membawanya ke lapangan terbang seperti yang dijanjikan, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Janji yang dimungkiri itu mengakibatkan dia terlepas penerbangan dan menanggung kos tambahan yang tidak dirancang.
Antaranya, kos pengangkutan ulang-alik ke lapangan terbang dan mengupah orang lain untuk menjaga haiwan peliharaannya.
Difahamkan, wanita tersebut telah meminta teman lelakinya untuk menghantar ke lapangan terbang bagi menghadiri konsert dengan beberapa rakan lain.
Lelaki itu juga bersetuju untuk tinggal di rumahnya dan menjaga anjing peliharaannya, namun gagal melakukan semua perkara yang dipersetujui secara lisan.
Susulan itu, wanita berkenaan memfailkan tuntutan saman terhadap lelaki tersebut di Tribunal Pertikaian kerana dianggap lebih cepat, lebih murah dan kurang formal daripada mahkamah.
Bagaimanapun, Tribunal Pertikaian menolak tuntutan tersebut dan memutuskan bahawa teman lelakinya tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menunaikan janjinya. – AGENSI