fbpx

Ustaz Don terima surat JAIS semalam, sedia beri kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Don sedia beri kerjasama andai dipanggil pihak JAIS.

PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Don akur dan sedia memberi kerjasama berhubung siasatan berkaitan doktrin palsu oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Don yang dihubungi menerusi pengurusnya dikenali sebagai Anna berkata, pihaknya sudah menerima surat berbentuk e-mel daripada jabatan tersebut semalam.

“Ustaz Don sudah menerima surat daripada pihak JAIS semalam dan sedia untuk memberikan kerjasama sekiranya dipanggil atau disiasat berhubung isu terbabit.

“Buat masa sekarang, pihak Ustaz Don diminta untuk membalas surat yang dikemukakan JAIS dalam bentuk bertulis dan itu akan dilakukan dengan kadar segera,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Kata Anna lagi, pihak Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid tidak akan sesekali melawan andai dirinya diarahkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Kalau dipanggil pihak berkuasa, memang Ustaz akan sentiasa sedia memberikan kerjasama. Apa yang terkandung dalam surat yang dikemukakan JAIS berstatus P&C (Sulit dan Peribadi) dan tidak perlu didedahkan di sini,” katanya lagi.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan, Ustaz Don, 40, disiasat JAIS di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Seksyen 7 merujuk kepada mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI