fbpx

UiTM kekal untuk pelajar bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti yang terkandung Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan diubah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dasar itu dikekalkan oleh kerajaan bagi mencapai usaha untuk merapatkan jurang antara kaum terutama melibatkan aspek sosio ekonomi.

“Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera daripada segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

“Malah kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

“Oleh demikian, pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak ini masih diperlukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.

Terdahulu, Zambry memberitahu, UiTM merupakan sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 [Akta 173]

Menurut beliau, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak Sabah dan Sarawak yang merupakan asas kepada agenda bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM.

Kata beliau, dalam masa yang sama, penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir ketika itu.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia.

“Termasuk dalam sektor pekerjaan yang berstatus profesional seperti doktor, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI