PENYEDIA platform e-dagang, TikTok Shop terus bekerjasama dengan Tekun Nasional bagi memperhebatkan ekonomi tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui aktiviti jualan langsung, seterusnya mencipta gelombang beli-belah baharu kepada pengguna.
Dalam konteks ini, TikTok Shop akan bekerjasama dengan Tekun Nasional sebagai rakan strategik menerusi penganjuran Karnival Tekun Madani bagi memperkasakan PKS tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran perdagangan langsung yang penting.
Susulan itu, TikTok Shop yang merupakan sebuah platform e-dagang bagi PKS, pencipta kandungan dan usahawan TikTok disifatkan bakal memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital dan kelestarian di karnival yang berlangsung di SP Arena, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 28 hingga 30 Jun ini.
Karnival berkenaan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedict sekali gus, ia bakal menonjolkan kepentingan kerjasama ini dalam memajukan ekosistem perniagaan di Malaysia.
Dalam pada itu, melalui penglibatan TikTok Shop, program tersebut bakal membantu peniaga luar talian mengamalkan transformasi digital dan membina kemampanan jenama melalui aktiviti jualan dan simulasi perdagangan.
Inisiatif itu juga sejajar dengan TikTok Shop yang melaksanakan inisiatif #JOMLokal bagi mempromosikan dan menyokong jenama tempatan Malaysia melibatkan e-landskap perdagangan dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan keupayaan perdagangan langsung ketika ini.
Menurut Ketua Perkongsian TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, pihaknya begitu berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tekun Nasional bagi memperkasakan perniagaan tempatan melalui inisiatif jualan secara siaran langsung.
“Perkongsian itu sekali gus menunjukkan komitmen kami untuk menyokong keterangkuman ekonomi serta memupuk inovasi digital dalam landskap e-dagang Malaysia.
“Apabila TikTok Shop dan Tekun Nasional bergabung, mereka berhasrat untuk mewujudkan peluang pertumbuhan untuk perniagaan tempatan, menggalakkan semangat keusahawanan serta membuka ruang perdagangan digital yang cerah di Malaysia,” katanya.
Lantaran itu, bagi memberi peluang kepada usahawan terlibat meningkatkan kemahiran mereka khususnya keupayaan digital dan kepakaran menjual, TikTok Shop juga akan mengendalikan beberapa aktiviti pada karnival berkenaan.
Latihan penjualan
Aktiviti itu telah diadakan pada 18 hingga 19 Mei lalu di PICC@Butterworth yang mana TikTok Shop telah menjalankan latihan komprehensif kepada 150 penjual tempatan.
Latihan itu bertujuan melengkapkan peserta dengan kemahiran penting dalam jualan langsung untuk mengoptimumkan jualan dan penglibatan mereka.
Dalam pada itu, pada 28 Jun depan juga, salah seorang pencipta kandungan TikTok Shop iaitu Vicky juga berkongsi kejayaannya menerusi platform berkenaan.
Jualan secara langsung
Melalui aktiviti ini, sebanyak empat penjual terbaik daripada Tekun Nasional iaitu Sumber Hab Cendawan, Serbuk Kari Shiffa, CikScha Gold dan Lipstickscarf akan melakukan sesi langsung di lapangan.
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan penglibatan hos jualan lain seperti Saukass, Masdora Jewellery, Ladybossrafa dan ramai lagi.
Aktiviti Luar talian TikTok Shop
20 peserta terbaik pada pertandingan jualan secara langsung yang dianjurkan baru-baru ini akan turut mempamerkan produk mereka pada karnival terbabit yang mana 10 penjual terpilih akan mengambil bahagian dalam mencari pencipta baharu untuk meningkatkan kehadiran digital mereka.
TikTok Shop juga akan menganjurkan aktiviti interaktif dengan menawarkan hadiah menarik, perundingan untuk PKS tempatan dan bengkel kepada penjual dan pencipta meningkatkan kemahiran.
Selain itu, seramai 10 finalis juga akan bersaing dalam pertandingan pitching untuk mempamerkan strategi mereka.
Majlis anugerah
Kempen itu akan diakhiri dengan majlis penganugerahan di Karnival Tekun Madani yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun depan bagi meraikan pencapaian dan kejayaan penyertaan usahawan.-KOSMO! ONLINE