fbpx

Shahril sah ‘keluar’ FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRIL

PETALING JAYA – Seperti menunjukkan tanda solidariti, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selaku Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta-merta.

Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC tidak mahu berkongsi secara terperinci mengenai punca keputusan tersebut dibuat.

“Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada FAM dengan serta-merta.

“Dengan peletakan jawatan ini, fokus saya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC adalah untuk memberikan yang terbaik demi kemajuan dan pembangunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan juga kelab Selangor FC.” katanya secara ringkas kepada Kosmo! hari ini.

Difahamkan, keputusan tersebut mungkin dilakukan susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan hukuman ‘berat’ kepada skuad Gergasi Merah susulan isu tarik diri pada aksi Piala Sumbangsih, Mei lepas.

Sebagai rekod, Shahril merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM turut dilantik sebagai Pengurus Skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada tahun lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum ini telah menetapkan denda RM100,000 kepada Selangor FC yang mana wang berkenaan bakal disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

MFL dalam satu kenyataan semalam memaklumkan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dimainkan tanpa penonton.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan Selangor FC diberikan ‘talian hayat’ untuk melakukan rayuan sehingga penghujung minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI