PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak terkilan sekiranya gagal mendapat tiket wildcard daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris dalam acara 100 meter (m) bulan depan.
Tegas Azeem, perjalanan kariernya masih lagi panjang kerana baru mencecah usia 20 tahun dan tidak kisah di label jaguh kampung berikutan kegagalannya mencatat kepantasan 10 saat untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu
Ujarnya, jika KOM tidak menyenaraikan namanya ke Olimpik Paris, pelari dari Teluk Intan itu mahu mencari kemenangan ‘kecil’ dengan pulang berbakti mewakili Perak pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti.
“Bagi saya semua sudah tertulis yang mana mungkin bukan musim terbaik saya hari ini. Bagi saya, mungkin akan ada benda yang lebih baik pada masa akan datang.
“Bercakap tentang Paris, mungkin orang sudah lupa saya masih muda dan baru mencecah usia 20 tahun. Perjalanan masih jauh dan banyak lagi peluang pada masa akan datang. Andai kata tidak terpilih ke Olimpik Paris dengan tiket wildcard, saya tidak terkilan atau kecewa.
“Mana-mana pihak yang buat pilihan mereka akan pilih atlet terbaik ke temasya berprestij dunia itu. Sebarang keputusan yang mendatang saya akan terima dengan hati yang terbuka. Sudah pasti sasaran saya adalah Los Angeles 2028.
“Pada waktu itu saya sudah berusia 24 tahun dan mungkin kemuncak prestasi saya. Misi saya adalah kekal relevan menjadi pelari terpantas di Malaysia,” katanya.
Azeem yang akan beraksi di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia bulan ini mengakui, mahu mencari kemenangan bagi meningkat motivasi sebelum membantu Perak di Sukma Sarawak dengan dua emas dalam acara 100m dan 200m. – KOSMO! ONLINE