fbpx

Pindaan Akta Penagih Dadah sudah di penghujung proses – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika berucap di Sambutan Peringatan Hari AntiDadah Dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024 hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini di penghujung proses meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 agar hukuman penjara bagi kesalahan penyalahgunaan dadah ditukar kepada program rawatan dan pemulihan dadah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam sesi libat urus yang berlangsung hari ini, beliau telah memperincikan butiran 29 Fasal yang dihajat untuk dibuat pindaan.

Katanya, bermula dari definisi hingga ke perincian perkara bersifat substantif yang mana ia merupakan anjakan besar melibatkan kes penagihan dan penyalahgunaan dadah.

“Pertama ia (pindaan) telah pun diberikan kelulusan oleh jemaah menteri bagi kedua-dua peringkat iaitu dasar dan rang undang-undang sendiri.

“Ia juga sudah didaftarkan untuk menunggu giliran pembentangan di persidangan Parlimen sesi ini yang akan berakhir 18 Julai.

“Jadi, KDN berharap kita akan mendapat ruang untuk dibentangkan,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Sambutan Peringatan Hari AntiDadah Dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024 di Sunway Putra Hotel, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, melalui pindaan ini para penagih yang mahu menyertai Program Rawatan dan Pemulihan dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ini akan dianggap sebagai klien atau pesakit.

“Melalui program ini, mereka akan dilihat sebagai kelompok yang mesti didekati selain meletakkan peranan AADK sebagai watak yang mempunyai kepakaran dalam menentu sahkan sesuatu kes apabila seorang penagih ada kesedaran untuk dipulihkan.

“Dengan adanya pindaan ini, pegawai pemulihan sendiri boleh melakukan ujian seterusnya membuat pengesahan untuk dihantar ke pusat.

“Berbanding kaedah lama, yang memerlukan mereka merujuk pegawai perubatan terlebih dahulu. Jadi, ini merupakan anjakan besar untuk mempercepatkan tanpa kompromi sudut ujian pengesahan dan sebagainya,” jelasnya.

Dengan pengalaman AADK selama 41 tahun, pegawai pemulihan dilihat mempunyai kelayakan yang mana perkara ini antara yang dimasukkan dalam pindaan rang undang-undang berkenaan.

“Kami harap apabila pindaan ini diluluskan dan diwartakan, ia akan menjadi ‘game changer’ untuk menggamit minat kalangan penagih yang mahu berubah.

“Kedua, impak bagi salah guna dadah yang tidak parah, tidak akan berakhir kepada kertas siasatan, ke mahkamah seterusnya di penjara.

“Jika perkara ini boleh dialihkan maka, kesesakan penjara juga dapat dikurangkan disamping menjimatkan perbelanjaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI