KOTA BHARU – Permohonan injunksi berkait notis pengosongan luar jangka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Aziz Abu Naim berkata, pendengaran kes tersebut akan berlangsung pada pukul 4.30 petang.
Menurutnya, beliau telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon perintah injunksi supaya kekosongan kerusi DUN Nenggiri dihentikan.
“Saya juga memohon agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil sebarang langkah lanjut berhubung surat yang dikeluarkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah sementara menunggu mahkamah membuat keputusan.
“Selain itu, pengurusan kes telah ditetapkan pada 9 Julai depan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mohd. Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula 19 Jun lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.
“DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan daripada, seorang ADUN mengenai Mohd. Azizi telah hilang keahlian Bersatu seterusnya berlaku kekosongan luar jangka di DUN Nenggiri,” ujarnya.
Mohd. Azizi kemudiannya memaklumkan bahawa beliau telah melantik peguam bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi DUN tersebut. – KOSMO! ONLINE