GEORGE TOWN – Dua penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di Butterworth awal pagi tadi dipercayai sedang dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan jenayah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-dua rakan sejenayah berusia 41 tahun dan 51 tahun itu dipercayai mungkin mahu melakukan jenayah berkaitan pengedaran dadah atau rompakan.
“Masing-masing mempunyai 12 dan 13 rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 pagi itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Permatang Baru, Sungai Dua di Butterworth dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis menghampiri kenderaan tersebut dan mengarahkan kenderaan berhenti untuk diperiksa, namun pemandu bertindak memecut melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.
“Ekoran daripada itu polis mengejar kenderaan suspek sehingga dua kilometer dan selepas itu kenderaan yang dinaiki suspek terbabas. Ketika turun untuk membuat pemeriksaan, suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan dan bagi tujuan mempertahankan diri, pasukan polis telah membalas balik tembakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE