LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) dalam memastikan keselamatan perairan Selat Melaka melalui Operasi Patroli Terkoordinasi (Op Patkor Malindo) Siri 164/24 dari 12 Jun hingga semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, operasi gabungan kali ini melibatkan Kapal Diraja (KD) Handalan dan KD Jerai mewakili TLDM.
Katanya, Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani dan KRI Krait pula mewakili TNI-AL, dengan operasi itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Pembukaan, Fasa Rondaan dan Fasa Penutup.
“Majlis Pembukaan Op Patkor Malindo 164/24 telah berlangsung di Lantamal I, Belawan, Indonesia pada 12 Jun lalu yang mana ia disempurnakan oleh Komandan Komando Pembinaan Doktrin, Pendidikan dan Latihan Angkatan Laut (Dankodiklatal), Leftenan Jenderal TNI (Mar) Nur Alamsyah bersama Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.
“Turut hadir adalah Panglima Komando Armada (Koarmada) I, Laksamana Muda TNI Dr. Yoos Suryono dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa,” katanya di sini semalam.
Seterusnya, ujarnya, kapal telah meneruskan fasa rondaan bersama di perairan Selat Melaka bermula dari 14 hingga 23 Jun yang bertujuan memastikan keselamatan di Selat Melaka di samping meningkatkan kebolehoperasian kedua angkatan laut.
Menurutnya, sepanjang rondaan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan objektif mengekang ancaman keselamatan serta jenayah rentas sempadan merangkumi perkongsian maklumat tentang ancaman dan aktiviti maritim serta latihan bersama di laut.
“Latihan yang dijalankan ini bertujuan mengasah kemahiran warga TLDM dan TNI-AL dalam pengawasan dan rondaan maritim yang efektif serta meningkatkan keupayaan dalam menghadapi ancaman dan situasi kompleks di perairan Selat Melaka.
“Operasi diakhiri dengan Majlis Penutup Op Patkor Malindo 164/24 di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 24 Jun dengan disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee bin Mohamad Isa bersama Komandan Gugusan Keamanan Laut (Guskamla) Koarmada I, Laksamana Pertama TNI Anung Susanto.
“Keutuhan jalinan kerjasama TLDM dan TNI-AL melalui Op Patkor Malindo mampu memastikan perairan Selat Melaka selamat daripada unsur-unsur perlanggaran undang-undang maritim seterusnya mengukuhkan keyakinan komuniti maritim di perairan itu,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat antara kedua negara akan terus dikekalkan dalam memastikan keselamatan serta keamanan pengguna maritim di sepanjang perairan maritim Malaysia dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE