fbpx

Kos pembinaan 26 buah sekolah baharu dimuktamadkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong Kah Woh. Foto oleh JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Penetapan skop dan kos pembinaan 26 buah sekolah baharu di seluruh negara telah dimuktamadkan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM)

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kesemua projek sekolah baharu itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) secara Reka Dan Bina.

“Semua projek perlu melalui Makmal Pengurusan Nilai sebelum diteruskan pelantikan kontraktor.

“Setakat ini iaitu pada tahun pertama selepas projek diumumkan, kerja-kerja awalan akan dilaksanakan melibatkan pelan ukur dan siasatan tanah.

“Kesemua tapak sekolah itu didaftarkan dibawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, maka hal pemilikan tiada masalah cuma situasi fizikal tanah pihak JKR dalam pra pembinaan dan siasatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berhubung status kemajuan pembinaan terkini 26 buah sekolah yang telah dijanjikan dibina dalam peruntukan tahun 2024.

Terdahulu, Kah Woh berkata menjelaskan, dalam Belanjawan 2024, KPM telah diluluskan pembinaan baharu 26 buah sekolah di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM2.55 bilion.

Menurut beliau, negeri terlibat termasuk Pulau Pinang, Kedah, Johor, Pahang, Selangor, Sabah, Kelantan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Menjawab soalan tambahan Onn berhubung projek sakit, beliau berkata, setakat ini terdapat 600 projek di peringkat pembinaan sama ada sekolah baharu, bangunan tambahan atau bangunan gantian.

Jelas beliau, sebanyak 159 projek tersebut dilaksanakan oleh KPM, manakala sebanyak 441 dilaksanakan oleh JKR.

“Kita ada 38 projek yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu kemajuan fizikal lewat lebih 20 peratus.

“Antara puncanya prestasi kontraktor terlibat, tahap ketidaksediaan tapak, terdapat pendudukan atau pencerobohan, pindaan reka bentuk dan pematuhan syarat uliti serta syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI