SAIPAN, KEPULAUAN MARIANA UTARA – Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) membebaskan Julian Assange hari ini dalam perjanjian pengakuan yang menamatkan pertikaian undang-undang selama bertahun-tahun melibatkan pengasas WikiLeaks tersebut.
“Dengan pengumuman ini, nampaknya anda akan dapat keluar dari bilik mahkamah ini sebagai seorang lelaki yang bebas,” kata hakim sebuah mahkamah di Kepulauan Mariana Utara dalam wilayah Pasifik AS.
Assange sejak sekian lama dikehendaki oleh Washington kerana mendedahkan rahsia ketenteraan AS menerusi pendedahannya dalam laman web WikiLeaks.
Dia hari ini mengaku bersalah atas satu tuduhan konspirasi untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat pertahanan negara, kata wartawan AFP di dalam mahkamah.
“Sebagai seorang wartawan, saya menggalakkan sumber saya menyediakan bahan yang dikategorikan sulit,” kata lelaki berusia 52 tahun itu kepada mahkamah.
Assange sejak 2010, menerbitkan beratus-ratu ribu dokumen rahsia AS sebagai ketua laman web pemberi maklumat, WikiLeaks.
Dia dibebaskan dari penjara Britain semalam sebelum dibawa menaiki penerbangan ke Kepulauan Mariana Utara.
Hakim pada hari ini menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua bulan ke atas Assange. Namun, dia tidak perlu menjalani hukuman tersebut selepas menolak tempoh di mana dia dipenjarakan di Britain sejak April 2019, ketika berusaha untuk mengelak daripada diekstradisi ke AS.
Selepas perbicaraan tersebut selesai, Assange dijadualkan terbang ke negara asalnya, Australia, demikian menurut WikiLeaks di laman sosial X. – AFP