PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju perlunya usaha berterusan bagi mengeratkan lagi interaksi dan hubungan antara Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut antara lain dapat membawa hubungan kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, perkara itu turut dipersetujui Presiden Perhimpunan Kebangsaan Thailand yang juga Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhamad Noor Martha semasa kunjungan hormatnya ini.
“Pastinya, pertemuan ini antara lain bagi membincangkan dan mengukuhkan lagi kerjasama antara dua negara berjiran dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
“Turut disentuh adalah usaha melicinkan lagi kerjasama terkait isu pendidikan, perkembangan komuniti Islam termasuk di Selatan Thailand,” katanya dalam satu hantaran di Facebook tadi. – KOSMO! ONLINE