fbpx

Hikmah kereta rosak, Izzati tuai emas pertama AUG Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENAMPILAN sulung pada AUG bawa tuah buat Farah Izzati apabila menyumbang pingat emas pertama Malaysia di AUG 2024.

ATLET judo wanita negara, Nur Farah Izzati Wallah memulakan cabaran Malaysia pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia dengan langkah kanan apabila menyumbangkan pingat emas pertama menerusi kategori bawah 52 kilogram (kg).

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Airlangga, Surabaya hari ini, tuah nyata memihak kepada atlet berusia 23 tahun itu apabila mencatat kemenangan ke atas Olimpian tuan rumah, Maryam March Maharani.

Kemenangan menjadi milik Farah Izzati apabila pengadil perlawanan membatalkan penyertaan lawannya kerana didapati membawa masuk objek yang tidak dibenarkan ke dalam gelanggang ketika pertarungan akhir itu.

Atlet kelahiran Perak itu mengakui gembira dapat mencatat kemenangan ke atas Maharani yang bakal menggalas cabaran Indonesia ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

“Alhamdulillah emas pertama untuk saya pada penampilan sulung di AUG. Semasa perlawanan, mungkin dia (Maharani) terlupa ada ‘airpods’ dalam poket bajunya dan penyertaan dibatalkan kerana dianggap cuai.

“Secara jujur, memang saya takut (sebelum pertarungan) tetapi saya hanya mahu melakukan yang terbaik. Sekiranya penyertaan dia tidak dibatalkan, saya juga akan buat sungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui selepas tamat aksi final.

Dalam pada itu, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga ingin memanfaatkan insentif RM3,000 yang bakal diraih bagi membaiki keretanya yang rosak sebelum ini ketika dalam perjalanan menuju ke pusat latihan.

Farah Izzati juga dilihat cuba menahan sebak ketika menceritakan pahit-jerih serta pengorbanan yang dilakukan dalam usahanya untuk melakukan penampilan sulung di temasya sukan universiti rantau Asia Tenggara itu.

“Sebelum datang ke sini pun kereta saya rosak dan ia juga berlaku ketika saya dalam perjalanan untuk keluar menjalani latihan. Saya fikir ada hikmah juga apabila dapat datang ke sini.

“Rasa nak menangis pun ada kerana banyak sangat (cabaran) yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi ini adalah tahun akhir saya sebelum latihan industri. Sekarang saya nak buktikan bahawa tidak semestinya kita tidak boleh berjaya walaupun bergelar pelajar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI