fbpx

Hamil anak kelima, isteri Jamal Abdillah masuk IJN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal Abdillah dan isteri, Zai.

PETAING JAYA – Bakal menimang cahaya mata ketujuh, penyanyi Datuk Jamal Abdillah mengharapkan agar peminat dapat mendoakan kesihatan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, kembali pulih seperti biasa.

Jamal, 65, memberitahu, Zai Izzati yang hamil dua bulan sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami kesan sampingan daripada ubat alahan dan muntah yang teruk.

“Sebelum ini dia sudah dimasukkan ke hospital selama empat hari. Hari pertama dia alahan lepas mengandung, dia tidak makan, tak minum dan air tidak boleh masuk.

“Jadi, dia ditahan di wad selama empat hari dan dibenarkan balik. Namun, balik rumah pun keadaannya sama juga, saya risau dan masukkan semula dia ke hospital.

“Saya mengharapkan doa daripada semua agar isteri dan anak dalam kandungan sihat sampailah hari kelahiran,” katanya.

Tambahnya, akibat daripada alahan dan muntah yang teruk Zai Izzati mengalami tiroid dan sakit tekak.

“Doktor kemudian bagi ubat tahan muntah dan tiroid. Kedua-dua ubat ini kita tidak tahu yang mana satu mengakibatkan kekejangan otot dan tekak dia kejang

“Tetapi alhamdulillah, keadaannya okey dan kandungan juga sihat. Sekarang memang dia di IJN selepas dimasukkan di salah sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur kelmarin.

“Bila jadi begini, mereka pindahkan isteri ke pakar jantung iaitu ke IJN,” katanya.

Mengulas lanjut keadaan isteri tercinta, Jamal berkata belahan jiwanya itu kini tidak lagi muntah-muntah dan mengadu sakit pada bahagian tiroid.

“Alhamdulillah dia nampak baik. Hari ini dia akan menjalani pemeriksaan angiogram bagi mengenal pasti punca penyakit,” katanya.

Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.

Penyanyi lagu Gadis Melayu itu memiliki dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI