KOTA KINABALU – Seorang guru membuat laporan polis dengan menafikan video tular menunjukkan pelajar sekolah menengah di Manggatal cedera dipukul.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan mendapati, guru berkenaan menerima maklumat tentang kejadian itu menerusi orang awam pada pukul 6.30 pagi tadi.
“Pelajar lelaki tingkatan tiga berkenaan ditemukan tertiarap di tepi jalan berdekatan sekolah. Guru berkenaan tidak menemukan sebarang kecederaan pada tubuh pelajar terbabit apabila diperiksa.
“Ekoran itu, guru berkenaan membuat laporan polis dengan menyatakan dakwaan pelajar itu dipukul atau terbabit pergaduhan seperti dalam video tular adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Kasim menyatakan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan dari pihak penguatkuasa.
Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit 49 saat menunjukkan seorang pelajar lelaki tertiarap tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di Tebobon, Manggatal.
Individu yang merakam kejadian terbabit bertanyakan kepada pelajar lain yang turut berada di lokasi sama ada mereka mengenalinya atau tidak.
Bagaimanapun, pelajar berkenaan pada rakaman 1.10 saat dilihat sedarkan diri namun gagal menjawab apabila ditanya sama ada dia dipukul atau sebaliknya. – KOSMO! ONLINE