fbpx

Euro 2024: Portugal perlu buang sikap tamak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO terus menjadi sandaran Portugal untuk mencatat kemenangan ke atas Georgia awal pagi esok. - CRISTIANO

GELSENKIRCHEN – Portugal berhasrat melangkah ke pusingan kalah mati Kejohanan Euro 2024 dengan rekod bersih tiga kemenangan daripada tiga aksi peringkat kumpulan menjelang perlawanan terakhir menentang Georgia di Veltins Arena awal pagi esok.

Selecao berada pada landasan tepat untuk mengulangi kejayaan bergelar juara seperti edisi 2016 selepas menang 2-1 ke atas Republik Czech sebelum menewaskan Turkiye 3-1.

Bagaimanapun, Portugal tetap dilihat mempunyai kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi segera oleh pengendalinya, Roberto Martinez seperti sikap ‘tamak’ ditunjukkan beberapa pemainnya ketika menentang Turkiye.

Portugal bernasib baik kerana kesilapan benteng pertahanan Turkiye membolehkan mereka menang 3-0 yang turut menyaksikan bintangnya, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah baharu sebagai pemain paling banyak mencipta umpanan jaringan di pentas Euro.

Memandangkan sudah layak ke pusingan kalah mati, Martinez berkemungkinan besar membuat penggiliran pemain dalam kesebelasan utama dengan merehatkan pemain-pemain penting seperti perancang tengah, Bruno Fernandes.

“Sekarang peluang buat pemain-pemain lain membuktikan kebolehan mereka buat pasukan. Mereka harus memanfaatkan peluang ini untuk mengesahkan tempat sebagai juara (Kumpulan F).

“Saya gembira melihat keseluruhan prestasi meskipun ada yang tidak sependapat dengan saya. Namun, tiada masalah kerana kami masih berjaya menyelesaikan tugas dan mencapai objektif pasukan,” kata Martinez.

Sementara itu, bintang Georgia, Khvicha Kvaratskhelia menegaskan, mereka tidak gentar untuk berdepan Portugal sekiranya lawan tersebut tetap menurunkan Ronaldo awal pagi esok.

“Ia satu penghormatan untuk beraksi satu padang menentangnya. Saya tidak sabar dan kami akan menunjukkan keupayaan bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan gergasi seperti Portugal,” jelasnya.

Georgia ketika ini berada di tangga keempat dengan dua mata dan mengharapkan kemenangan ke atas Portugal dalam usaha untuk layak ke pusingan seterusnya sebagai salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI