fbpx

Dua emas terhasil di pusat akuatik AUG 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI XIN menyumbang sebutir pingat emas buat skuad negara menerusi acara 400m gaya bebas lelaki hari ini. - AUG/IPT

SURABAYA – Skuad renang negara tampil cemerlang pada hari pertama Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia apabila menuai dua pingat emas di Kolam Renang KONI Jawa Timur Universitas Airlangga, di sini hari ini.

Perenang sensasi negara, Tan Khai Xin membutirkan emas pertama skuad renang di pusat akuatik itu apabila memenangi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki menerusi catatan masa 4:05.18 saat (s).

Lebih manis, kemenangan Khai Xin diiringi rakan sepasukan, Low Zheng Yong yang meraih perak dalam acara tersebut dengan catatan 4:06.21s.

Atlet berpengalaman yang juga Olimpian negara, Phee Jinq En terus menghadirkan emas buat kontinjen Malaysia apabila berjaya menguasai acara 50m kuak dada wanita selepas mencatat 32.03s.

Sementara itu, Malaysia turut meraih tiga gangsa menerusi Bryan Leong (50m kuak dada lelaki), Hii Puong Wei (200m kuak lentang lelaki) serta 4x200m gaya bebas wanita.

Sebagai rekod, pada edisi dua tahun lalu yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand, skuad renang Malaysia turut cemerlang apabila merangkul enam pingat emas, 11 perak dan 10 gangsa.

Enam emas tersebut hadir menerusi acara 400m gaya bebas lelaki, 1,500m gaya bebas lelaki, 400m individu lelaki, 4x200m gaya bebas lelaki, 100m gaya bebas lelaki serta 400m kuak lentang lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI