SKUAD angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) Perlis melaungkan amaran akan memberi saingan sengit khususnya acara angkat berat wanita pada temasya di Sarawak, Ogos ini.
Ketua jurulatih skuad angkat berat Perlis, Dr. Mohd. Faiz Musa berkata, tumpuan khusus diberikan dalam acara angkat berat wanita selepas mereka menjalani latihan intensif di Medan, Indonesia baru-baru ini.
“Skuad angkat berat wanita Perlis menjalani latihan intensif di bawah kendalian jurulatih Indonesia, Supeni yang pernah melatih Sri Wahyuni Agustiani sehingga berjaya merangkul pingat perak Olimpik 2016 di Brazil.
“Sewaktu latihan di sana, atlet-atlet angkat berat wanita Perlis menjalani ‘sparring’ dengan atlet negara jiran yang mana mereka belajar teknik angkatan yang betul dan latihan secara holistik.
“Sepanjang satu bulan di negara jiran, skuad angkat berat wanita Perlis turut mengikuti rejim latihan penuh pagi dan petang selain mengikut jadual pemakanan ditetapkan,” katanya.
Menurut Mohd. Faiz, dalam fasa latihan intensif itu juga, para atlet didedahkan dengan persekitaran pertandingan agar membiasakan diri ketika berentap dalam temasya Sukma nanti.
“Untuk Sukma di Sarawak, Ogos nanti, saya selaku jurulatih optimis skuad angkat berat wanita Perlis akan membawa pulang dua pingat emas menerusi Dhiya’ Raihan Dzulkarnain dan Nurul Aisyah Athirah Mohd. Nadzim.
“Kedua-dua mereka ini pernah menyertai Sukma sebelum ini dan saya berharap mereka boleh beraksi dengan baik untuk membawa pulang emas ke Perlis,” ujarnya.
Sementara itu, Dhiya’ Raihan, 17, turut menyuarakan keyakinan tinggi untuk memberi aksi terbaik untuk Sukma kali ini berdasarkan keyakinan tingginya bersaing dalam ketegori 71 kilogram (kg) nanti.
Keyakinan sama turut disuarakan seorang lagi prospek emas Perlis, Nurul Aisyah, 17, apabila menjanjikan aksi terbaik untuk menjulang bebanan dalam kategori 59kg.
“Insya-Allah saya akan memberikan aksi terbaik di Sarawak nanti dan optimis untuk membawa pulang emas untuk negeri Perlis,” katanya dengan penuh yakin.