KUALA LUMPUR – Para pengemis warga asing dipercayai menggunakan ubat batuk untuk ‘menidurkan’ anak mereka bagi meraih simpati ketika mengemis di siang hari.
Demikian modus operandi digunakan sindiket pemerdagangan manusia warga Pakistan yang dibongkar Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) dalam serbuan di sebuah kedai empat tingkat di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, malam kelmarin.
Hasil risikan dilakukan, pengemis yang kerap dilihat merosakkan pemandangan di ibu negara itu dikesan beroperasi seawal pukul 9 pagi sehingga 10 malam di kawasan sekitarnya.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan mendapati, operasi tersebut dilaksanakan di premis yang menjalankan tiga jenis perniagaan iaitu kedai telefon, dobi dan kedai gunting rambut.
Bagaimanapun, kewujudan premis berkenaan sekadar untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila satu ‘lubuk’ sindiket pemalsuan dokumen pasport ditemui di bahagian belakang premis berkenaan.
Meninjau di tingkat atas bangunan pula, terdapat ruangan dipecahkan menjadi beberapa bilik bersaiz ‘sekangkang kera’ yang didiami lapan penyewa di dalamnya.
Difahamkan, bilik yang dilengkapi pendingin hawa itu disewa bermula pada harga RM800 dan dimonopoli warga Pakistan dan ahli sindiket pengemis.
Malah, akses untuk menaiki kediaman tersebut turut dikawal ketat serta difahamkan pengemis perlu menyerahkan wang harian dikumpul terlebih dahulu kepada ketua sindiket sebelum dibenarkan naik ke bilik.
Ketika pemeriksaan dijalankan, turut ditemui beberapa botol dipercayai merupakan ubat batuk serta sebuah tong digunakan untuk mengutip wang mengemis
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat dan risikan yang dijalankan lebih enam bulan di lokasi kejadian.
Katanya, operasi yang bermula pukul 9 malam sehingga 12 malam itu berjaya menahan seramai 79 warga asing termasuk seorang warga tempatan yang berada di premis itu.
“Hasil serbuan dijalankan membawa kepada penahanan seorang wanita Indonesia, seorang wanita India dan seorang lelaki tempatan.
“Turut ditahan warga Pakistan membabitkan 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan,” katanya.
Kata Wan Mohammed Saupee, individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 10 bulan sehingga 59 tahun.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.
Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE