fbpx

‘Beta tidak teragak-agak tarik keluar Selangor FC daripada Liga Super’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selangor FC -GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pasukan itu tidak teragak-agak untuk menarik keluar daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

Ini kerana titah Sultan Sharafuddin, hukuman yang dijatuhkan Malaysian Football League (MFL) iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal.

Malah titah baginda, ia amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS.

“Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,”titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,”titah baginda.

Terdahulu, Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim.

Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

Disebabkan itu, Sultan Sharafuddin telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI