fbpx

5 syor pantau hutang tinggi Felcra Berhad – PAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Ermieyati.

PETALING JAYA – Lima syor telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memantau isu hutang tinggi Felcra Berhad (Felcra) dan anak-anak syarikatnya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, syor berkenaan dikemukakan kepada kerajaan susulan prosiding PAC mendapati Felcra tidak membantu menjana pendapatan.

Malah katanya, ia mendatangkan beban hutang yang lebih bagi menanggung operasi perniagaan yang dijalankan.

“Pada 31 Disember 2021, baki pinjaman Felcra dengan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.674 bilion.

“Kerajaan menerusi Dewan Rakyat setuju untuk tukar sebahagian hutang Felcra sebanyak RM969.27 juta yang menjadi hutang peserta Felcra kepada ekuiti Kerajaan Pusat,” jelasnya ketika sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felcra disarankan supaya lebih bertanggungjawab menguruskan anak-anak syarikatnya.

“Ia bagi memastikan keuntungan dapat dijana dan mencapai matlamat penubuhan. Felcra perlu bina keupayaan sebelum menceburi apa-apa bidang selain perniagaan teras.

“PAC dimaklumkan hutang Felcra Berhad dan anak-anak syarikatnya berjumlah RM1.532 bilion sudah distrukturkan dan dijadualkan semula untuk tempoh 35 tahun oleh pihak kerajaan melalui kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Felcra juga memberitahu, pinjaman yang distrukturkan semula itu kini dibayar mengikut jadual ditetapkan, sekali gus membolehkan Felcra terus beroperasi.

“Menerusi prosiding sebelum ini, PAC juga mendapati faktor penyumbang terbesar keberhutangan adalah kerugian pengoperasian anak-anak syarikat Felcra.

“Ia jelas dilihat menerusi hutang syarikat-syarikat usaha sama estet berjumlah RM309.8 juta dan Felcra Properties kepada Felcra Berhad berjumlah RM842.7 juta.

“Kerajaan sudah beri pinjaman berjumlah RM544 juta kepada Felcra untuk pembangunan sebuah projek komersil di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, iaitu Semarak 20,” tambahnya.

Menerusi syor yang dikemukakan, KKDW perlu memastikan Felcra dan Felcra Properties merangka strategi menyeluruh.

Ia termasuk jualan dan peluang perniagaan bagi projek Semarak 20 supaya pembayaran semula hutang kepada kerajaan boleh dilaksanakan selain memperkukuh kewangan syarikat.

Selain itu kata beliau, kedua-duanya juga perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kepada kerajaan.

“Ia termasuk pelaksanaan strategi ke atas projek Semarak 20 kepada PAC setiap tiga bulan sebagai mekanisme pemantauan.

“PAC beri tempoh selama dua bulan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan (MOF), KKDW dan Felcra Berhad untuk kemuka tindakan terhadap lima syor PAC ini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI