fbpx

490 pesalah dicekup demi kelangsungan populasi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 429 kes direkodkan melibatkan tangkapan seramai 490 orang pesalah sejak tahun 2019 sehingga April 2024, dalam usaha memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya.

Ia dilaksanakan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme- BP3) dengan jumlah sitaan lebih daripada RM258 juta.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, aspek perundangan turut diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 pada 1 Februari 2023.

“Ini termasuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

“Usaha-usaha bagi konservasi Harimau Malaya perlu terus diperkukuh sehingga populasinya stabil kerana bilangan yang direkodkan semasa Survei Harimau Kebangsaan Pertama pada tahun 2016 hingga 2020, adalah kurang daripada 150 ekor,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera) mengenai usaha-usaha kerajaan bagi menambah populasi Harimau Malaya dan jumlah yang masih wujud.

Terdahulu Nik Nazmi berkata, kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia telah melaksanakan sembilan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya.

“Ia telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 bagi tempoh pelaksanaan selama 10 tahun sehingga 2030 menerusi tiga pendekatan antaranya mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya.

“Selain itu, meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi dan memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup spesis berkenaan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI