SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas maut, manakala cucunya cedera apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Tiga N-City, Jalan Bakar Arang, di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Lam Koi Lan, 73, dari Taman Keladi di sini meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucunya, Teh Chia Yin, 18, cedera di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata. kemalangan tersebut melibatkan dua kereta iaitu Perodua Kancil yang dipandu mangsa dan sebuah Mini Cooper dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa hendak keluar dari simpang jalan sebelah kiri. Mini Cooper tersebut sedang bergerak lurus, manakala kereta mangsa pula keluar dari simpang sebelah kiri.
“Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri menyebabkan pemandu Mini Cooper tidak sempat mengelak dan terus melanggar sebelah kanan kereta mangsa menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE