PETALING JAYA – Pelakon Mimi mendedahkan perasaan cinta terhadap bekas tunangnya, Syafiq Kyle sekelumit pun tidak pernah berubah meskipun perhubungan mereka tidak berakhir di jenjang pelamin.
Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 29, mengungkapkan kata tersebut sebagai ucapan istimewa buat Syafiq bersempena hari lahirnya yang ke-32, semalam.
Melihat kembali galeri foto saya pada hari istimewa awak sedikit melukakan saya. Masa telah berlalu, tetapi anda sentiasa menjadi tempat saya bersandar pada saat susah dan senang.
“Cinta ini akan sentiasa untuk awak walaupun takdir kita masih belum pasti. Selamat hari lahir bintang saya dan selamanya kembar saya,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Menerusi entri tersebut, pelakon filem Pusaka itu memuat naik beberapa gambar serta video mereka berdua bersama kapsyen romantik yang menyentuh perasaan.
Perkongsian Mimi Lana meraih perhatian pengikutnya apabila rata-rata mendoakan mereka kembali bertemu jodoh selepas membatalkan pernikahan pada Ogos 2023 lalu.
“Semoga Allah jodohkan awak berdua okey. Tolonglah,” tulis seorang netizen.
Allah sebaik-baik perancang. Ada jodoh pasti tak ke mana,” kata seorang lagi pemilik akaun laman sosial.
“Ikhlas dari hati mendoakan jodoh kalian, moga dapat disatukan secara halal dan bercinta hingga ke syurga insya-Allah. Amin,” ujar peminat lain.
Mimi dan Syafiq sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun, namun impian menjadi suami isteri tergendala apabila mereka membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, pasangan terbabit kini masih menjalin hubungan baik, selain tetap bergandingan menjayakan beberapa projek komersil. – KOSMO! ONLINE