KUALA TERENGGANU – Sutra Beach Resort yang terletak di kawasan perikanan di Kampung Rhu Tapai dekat sini, bakal melalui fasa penambahbaikan dan pengubahsuaian secara berperingkat untuk membolehkan semua bilik dan kemudahan yang terdapat di situ memenuhi perubahan gaya hidup dan cita rasa pengunjung masa kini.
Pengurus Hotel, Krishna Badhur berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut akan dibuat secara berperingkat dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini sebaik mendapat kelulusan daripada pihak lembaga pengarah.
Menurut beliau, ini adalah masa terbaik untuk menaik taraf hotel bertaraf tiga bintang yang memiliki 120 bilik pelbagai kategori termasuk empat suite yang menghadap kolam renang dan juga laut itu kerana permintaan daripada pelancong kian bertambah.
“Apa yang menariknya di hotel ini adalah kawasannya yang luas dan setiap blok hotel yang memiliki lapan unit bilik terletak berasingan daripada blok yang lain, jika kami menutup satu blok, ia tidak menjejaskan blok hotel yang lain.
“Kami akan mempercepatkan proses penambahbaikan itu untuk bilik-bilik yang menghadap laut kerana ia adalah antara pilihan utama pelancong bercuti di hotel ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Krishna menerangkan, kadar penginapan hotel yang kini berada pada kadar 60 hingga 65 peratus itu dijangka tumbuh sehingga 75 peratus selepas proses penambahbaikan itu siap sepenuhnya.
Tambah beliau, selain menjadi pilihan pelancong untuk bermalam di hotel tersebut, Sutra Beach Resort turut dijadikan pusat hentian untuk pelancong yang mengambil pakej harian ke Pulau Redang dan juga bagi peminat kuda kerana ia terletak berdekatan dengan Terengganu International Endurance Park.
Selain itu, hotel tersebut memiliki keunikannya tersendiri yang mana pengunjung suka merakam pemandangan indah selepas waktu subuh ketika matahari menyinsing dan juga di sebelah senja melihat matahari terbenam daripada ruang balkoni hotel atau di tepi pantai hotel berkenaan.
Kolam renangnya yang besar juga memberi pemandangan menarik kerana menghadap lebih daripada lima pulau terkenal di Terengganu.
Krishna menerangkan, hotel tersebut akan terus mengekalkan seni bina tradisional Melayu yang terdapat di beberapa bangunan l khususnya di kawasan lounge dan juga restoran kerana ia bersesuaian dengan lokasi kampung di sekitarnya.