fbpx

Suami isteri didakwa terlibat militan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaini (tengah bergari) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Feesol Haron, 35, dan isterinya, Suhaini Sarwan, 46, serta Mohd. Firdaus Kamal Intdzam, 37, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan berkaitan IS dan perbuatan pengganas di dalam telefon bimbit mereka.

MUHAMMAD Feesol (tengah bergari) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas, di sini kira-kira pukul 1.10 dan 1.15 tengah hari, 30 Mei lalu.

Mohd. Firdaus pula didakwa melakukan kesalahan sama di hadapan sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 6, Taman Perniagaan Setia di sini, kira-kira pukul 6.15 petang hari sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi kesalahan tersebut.

Sementara itu, Suhaini turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada pukul 5.50 petang, 27 Mei lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI