PETALING JAYA – Pelantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced) meraih respons pelbagai segelintir netizen termasuk kononnya beliau tidak layak diberikan jawatan tersebut kerana tiada kelayakan akademik yang kukuh.
Bagaimanapun, seorang penyelidik dan pensyarah hebat negara, Datuk Dr. Ramzah Dambul tampil menjelaskan senario sebenar mengapa Siti, 45, manusia selayaknya diberikan peranan tersebut.
Menurut Ramzah atau dikenali sebagai Rem Dambul, ilmu itu bukan sekadar datang dari buku atau teori semata-mata tetapi turut mencakupi pengalaman luas seseorang dalam bidang yang diceburi.
“Pakar maksudnya seseorang yang ahli dalam sesuatu bidang, sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, atau merangkumi kedua-duanya iaitu pakar ilmu dan praktis sekali gus.
“Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun, boleh dianggap pakar perladangan. Tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani. Sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu, yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik,” katanya.
Jelasnya lagi, ilmu yang diraih dari institusi pendidikan dan pengalaman kehidupan memainkan peranan penting dalam kemenjadian seseorang insan dan proses pembelajaran itu berlangsung berterusan dalam hidup seseorang.
“Kepakaran ilmu boleh dipelajari dari universiti pengajian. Kepakaran amali boleh ditimba dari universiti kehidupan. Pengiktirafan ‘ahli’ tu tidak semestinya hanya menerusi modus pensijilan dan pengijazahan oleh sistem pendidikan formal.
“Kedua-dua kepakaran ini penting, dan menawarkan nilai signifikan tersendiri. Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, simbiosis pendidikan formal dan pengalaman praktik mesti dipupuk dan dihayati, sedalam-dalamnya.
“Sedangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat itu merentasi institusi pengajian formal. Proses itu mesti berterusan sehingga memasuki alam pekerjaan dan dunia kehidupan sebenar,” ujarnya Ramzah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah.
Mengulas lanjut, Ramzah berkata, Siti yang sudah hampir tiga dekat berkecimpung dalam dunia seni muzik termasuk bidang perniagaan mempunyai merit tersendiri untuk menyandang jawatan diberikan pihak universiti.
“Siti Nurhaliza sudah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional, regional dan international dalam bidang yang diceburinya — iaitu, industri kreatif dan keusahawanan produk kecantikan. Semua merit itu adalah endorsemen pada kepakarannya dalam bidang tersebut.
“Jangan ditanya dan dipertikai lagi — Siti itu pakar apa. Universiti terbaik di Malaysia telah pun memperaku kepakaran yang dimiliki beliau.
“Tanya diri sendiri ini pakar apa? Ya, saya tahu pakar ‘menganjing’ di media sosial pun, sejenis kepakaran juga. Tapi ini bukanlah kepakaran yang penting dan strategik untuk negara. Sebab 90% netizen Malaysia sudah pun memiliki kepakaran ini.
“Carilah bidang lain yang masih rare (lain sikit) dan eksklusif,” ujarnya penuh pengertian mendalam dan sinikal.
Terdahulu, kecoh di gelanggang media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Siti diangkat sebagai pakar di UMCced.
Menurut sekeping poster yang tular, pelantikan pelantun lagu Cindai itu adalah untuk tempuh dua tahun.
Sebilangan netizen mendakwa, Siti tidak memiliki kelayakan akademik untuk diberikan jawatan tersebut dan mereka berasakan bahawa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya sebagai institusi pendidikan ulung negara. – KOSMO! ONLINE