DI SEBALIK rasa gembira untuk melihat komitmen pemain, pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui Perak FC turut memberikan ‘kerja rumah’ tambahan buatnya bagi menyediakan pasukan yang lebih baik mengharungi baki musim ini.
Sambil memberikan kredit kepada The Bos Gaurus, kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin turut menyerlahkan satu titik lemah yang wajib dibaiki dengan kadar segera.
“Kita puas hati dengan komitmen pemain kerana bukan senang untuk bermain 10 orang, begitu juga kalau kita menentang pasukan lawan yang main 10 orang. Tempoh 30 minit (ketika beraksi 10 pemain) lebih berkisar kepada komitmen, jati diri untuk memenangi perlawanan.
“Saya pun tidak sangka kena main 10 orang, jadi selepas ini mungkin kita kena bersiap sedia untuk hadapi situasi ini. Selalunya kita berlatih kalau pasukan lawan yang bermain 10 orang.
“Tetapi sekarang saya juga perlu ingatkan diri sendiri yang kami kena berlatih untuk hadapi situasi sekiranya kami yang akan bermain 10 orang,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Ronnie Fernandez membuktikan dirinya mampu menghadirkan impak besar buat pasukan apabila menjaringkan kedua-dua gol Red Giants, manakala jaringan tunggal Perak dihasilkan oleh Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.
“Bertahan itu bagus tetapi kita juga kena hormati Perak, bukannya timbulkan persoalan kenapa kita bolos. Cepat atau lambat kita memang akan dibolosi dan inilah bola sepak.
“Susah untuk kekal tanpa bolos kerana hari-hari seperti ini pasti akan tiba. Kita bermain 10 orang dan memang sudah dijangka kami akan bolos tetapi cita-cita selepas ini pastinya mahu terus tamatkan perlawanan tanpa bolos,” jelas Nidzam.