PERNAH berdepan tuntutan saman mencecah jutaan ringgit disebabkan pelanggaran kontrak, aktres muda, Sara Ali Khan sentiasa beringat agar tidak mengulangi kesilapan lalu.
Kes yang berlaku ketika awal pembabitan dalam arena perfileman sekitar 2018 membuatkan anak kepada aktor Saif Ali Khan itu serik mengambil tawaran dua filem dalam tempoh terdekat.
Kata pelakon berusia 28 tahun itu, dia tidak menyangka jadual kedua-dua filem itu bertembung mengakibatkannya tidak dapat menjalani penggambaran produksi sulung layar perak berjudul Kedarnath arahan Abhishek Kapoor.
“Filem sulung saya Kedarnath tetapi selepas itu saya tandatangan pula kontrak dengan Rohit Shetty bagi filem Simmba kerana tarikh penggambaran berbeza.
“Namun tercetus konflik akibat jadual penggambaran bertembung sehingga Abhishek menghantar notis tuntutan, namun isu tersebut selesai selepas Rohit memberi pelepasan tiga hari untuk saya sempurnakan Kedarnath,” katanya yang serik untuk mengambil dua tawaran dalam satu masa.