fbpx

Ronggeng bakal diwarta tarian warisan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Tarian ronggeng bakal diwartakan sebagai warisan seni dan simbolik terbaharu Selangor pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya telah selesai menjalankan kajian dan dalam proses membengkelkan seni tarian tersebut.

Kata beliau, tarian itu bermula dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang sebelum ini dikenali sebagai BB Park ketika zaman kemerdekaan negara.

“Pada era itu, kawasan berkenaan masih berada di bawah Selangor dan ronggeng ditarikan oleh rakyat yang mencari rezeki di situ.

“Justeru, kita membuat kajian menyeluruh dan akan mengemukakan kertas perwartaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas selesai proses pembengkelan kelak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Selangor kali ke-38 di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kajian mengenai ronggeng itu dijalankan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Tambah Borhan, tarian itu merangkumi semua elemen muzik dan rentak berbeza selain peringkat pergerakan dari perlahan, sederhana yang akhirnya menjadi rancak.

“Selain itu, konsep pakaian penarinya berbeza dan masih menjadi tradisi di Selangor terutama dalam acara kesenian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pihaknya juga akan mewartakan beberapa seni warisan lain seperti tarian kuda kepang Selangor, alat muzik dabus dan cempuleng .

“Namun, ia masih dalam proses kajian dan kita mahu mengangkat seni itu bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

“Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri mempelajari semua seni warisan itu bagi mempromosikannya kepada umum terutama pelancong luar negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI