KUALA LUMPUR – Kumpulan pengganas Daesh dikesan meletakkan ideologi menjadikan pasukan polis sebagai sasaran utama serangan apabila melakukan sesuatu bentuk penentangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Daesh berdiri teguh dengan ideologi yang ekstrem demi menuntut pemerintahan berprinsipkan khalifah.
Jelasnya, adalah wajar kumpulan tersebut ditentang kerana akan mengancam ketenteraman awam dan kemungkinan menyasarkan orang kenamaan.
“Wajar difokuskan adalah ideologinya, dalam kefahaman mudah, ia kepercayaan menganggap bahawa di dalam pemerintahan kerajaan itu jika tidak tertegak pemerintahan khalifah mewajarkan mereka membuat penentangan.
“Dalam siri penentangan, mereka itu meletakkan polis sasaran nombor satu untuk mengalahkan kerajaan yang tidak memegang prinsip khalifah. Maka urutan itu dimulai pihak polis, itu ideologinya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Kali ke-40 di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan cabaran utama dihadapi pasukannya adalah mengesan pelbagai bentuk ideologi yang disebarkan kepada pengikutnya.
“Bila disebut ideologi bukan nampak seperti melihat air mengalir, ia tersebar pelbagai cara.
“Hakikatnya kita berjaya mematahkannya, proses siasatan awal dapati kumpulan ini menyasarkan orang-orang kenamaan pegawai tertinggi polis, itu hasil intipan dan risikan.
“bagi membendung ideologi ini tersebar, selepas kenal pasti (miliki ideologi) ketika soal siasat, kita klasifikasikan ia sebagai ancaman kepada negara,” katanya.
Semalam media melaporkan, lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri , Sabtu dan Ahad lalu.
Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan- lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan bekas pensyarah. – KOSMO! ONLINE.