fbpx

Pinjam RM1,200 tapi kena ‘ketuk’ along RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wen Bin (dua dari kiri) bersama pasangan suami isteri yang dikejar along gara-gara hutang RM1,200 pada 14 Jun lalu.

KAJANG – Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga kedai perkakas, hidup dalam keadaan tidak tenang kerana dihantui along yang menagih RM10,000 bagi pinjaman RM1,200 diterima pada 14 Jun lalu.

Menurut isteri, Siew, 44, dia berminat membuat pinjaman wang RM50,000 dari sebuah syarikat secara dalam talian dan bertindak menyerahkan dokumen Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan penyata akaun syarikat.

“Ajen maklumkan saya kena buat pinjaman percubaan dahulu sebanyak RM2,000 tetapi saya hanya akan terima RM1,200 setelah tolak caj proses.

“Saya menolak tawaran itu kerana rasa curiga tetapi dia terus masukkan wang RM1,200 ke dalam akaun syarikat pada hari yang sama,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat DAPSY Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Tambahnya, apabila mahu memulangkan wang yang diterima, agen terbabit juga enggan menerima bayaran balik dengan alasan sistem telah ditutup.

Susulan perkara itu, suami, Yuan, 43, menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengarahkannya melakukan bayaran hutang sebanyak RM10,000.

“Dia mengugut akan mencari ahli keluarga dan melakukan sesuatu pada dua anak saya.

“Saya juga ada menerima pesanan WhatsApp daripada nombor berlainan yang meminta melunaskan hutang dibuat oleh isteri.

“Dia ada hantar gambar kad pengenalan isteri dan anak-anak serta butiran peribadi ahli keluarga isteri,” ujarnya.

Risau dengan segala ugutan along yang diterima, pasangan suami isteri itu tampil membuat laporan di Subang Jaya pada 14 dan 21 Jun lalu.

Sehubungan itu, Ketua Biro Aduan DAP Selangor, Lee Wen Bin menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan pinjaman wang secara dalam talian atau syarikat yang tidak berlesen.

“Jangan buat pinjaman secara dalam talian, syarikat tidak berlesen kerana berkemungkinan akan di ‘scam’ atau kena bayar pula dengan jumlah yang banyak.

“Jika mengalami ‘scam’ ini (perkara seperti ini), jangan bayar faedah dan hanya bayar balik jumlah yang dipinjam sahaja,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI