JAKARTA – Seorang lelaki di Tulungagung, wilayah Jawa Timur yang menjalankan perniagaan menjual nasi goreng di tepi jalan ternyata memiliki sebuah kereta Mini Cooper, lapor laman berita Tribunjatim hari ini.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang pemilik akaun @nic_talking di platform X.
Menurut pemilik akaun itu dan suaminya, mereka memutuskan untuk makan di warung nasi goreng tersebut pada waktu malam.
Pasangan suami isteri itu melihat sebuah kereta Mini Cooper yang diparkir tidak jauh dari lokasi warung tersebut.
Kedua-dua mereka sanggup menunggu lama untuk melihat pemilik sebenar kereta tersebut sehingga ditegur oleh peniaga warung itu yang mahu menutup operasi perniagaannya.
Pasangan itu akhirnya mengetahui bahawa Mini Cooper tersebut adalah kepunyaan peniaga berkenaan dan digunakan untuk mengangkut barang-barang keperluan perniagaannya seperti kuali.
Pemilik akaun itu turut mendedahkan bahawa peniagaan nasi goreng itu diusahakan oleh pasangan suami isteri yang sederhana dan bersikap ramah. – AGENSI