WASHINGTON – Pengasas WikiLeaks, Julian Assange dibebaskan dari penjara semalam dan meninggalkan Britain selepas mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan ‘drama’ pertikaian undang-undang selama bertahun-tahun.
“Julian Assange kini bebas,” tulis laman web tersebut pada platform X.
Assange sebelum ini ditahan di sebuah penjara di Britain selama lima tahun sejak April 2019 ketika dia berjuang untuk mengelak daripada diekstradisi ke AS.
Washington berusaha untuk mendakwa Assange kerana mendedahkan rahsia ketenteraan negara itu.
Dia bagaimanapun telah bersetuju untuk mengaku bersalah atas satu tuduhan konspirasi bagi mendapatkan dan menyebarkan maklumat pertahanan negara, demikian menurut dokumen yang difailkan sebuah mahkamah di Kepulauan Mariana Utara di Pasifik.
Assange dijadualkan tiba di wilayah AS pada pagi esok (waktu tempatan).
Dia dijangka dijatuhkan hukuman penjara 62 bulan, dengan kredit untuk lima tahun dan dua bulan dia berkhidmat di penjara Britain.
Ini bermaksud dia boleh kembali ke negara asalnya, Australia.
Kerajaan Australia dalam satu kenyataan berkata, kes Assange telah berlarutan terlalu lama dan ‘tiada apa yang dapat diperoleh dengan penahanannya yang berterusan.’
Penerbit yang kini berusia 52 tahun itu dikehendaki oleh Washington kerana menerbitkan ratusan ribu dokumen rahsia AS dari 2010 sebagai ketua laman web pemberi maklumat, WikiLeaks.
Ketika itu, Assange dianggap ‘wira’ untuk membebaskan aktivis-aktivis di seluruh dunia dan ‘penjahat’ kepada mereka yang menganggap dia membahayakan keselamatan negara AS dan sumber perisikan dengan mendedahkan rahsia sulit. – AFP