PETALING JAYA – Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) menyusut kepada RM773 juta untuk suku tahun pertama (Q1) tahun kewangan 2025 (TK 2025), yang bakal berakhir pada 31 Januari 2025.
Dalam tempoh tersebut, syarikat mencapai keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal sebanyak RM25 juta, tidak termasuk kerugian tukaran asing yang belum direalisasikan atas liabiliti sewa transponder.
Astro turut menghasilkan aliran tunai bebas sebanyak RM112 juta dan terus proaktif dalam pengurusan modalnya.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, syarikat menempuh landskap yang mencabar terutamanya dalam perbelanjaan pengiklanan.
“Hasil pengiklanan mengalami trend penurunan yang signifikan, di mana beberapa pelanggan-pelanggan utama telah mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan terbabit semasa suku kali ini.
“Contohnya, sepanjang musim Raya, suasana pengiklanan dalam radio dan televisyen (TV) menyepi gara-gara pelanggan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Meskipun dibelengu dinamik pasaran sedemikian, Addressable Advertising, yang menawarkan pengiklanan bersasar secara digital ke TV dan OTT (layanan media yang ditawarkan langsung kepada penonton melalui internet), berada pada trajektori baik dengan peningkatan pendapatan sebanyak tiga kali ganda tahun-ke-tahun.
“Pendekatan inovatif ini membuktikan keberkesanan pengiklanan yang diperibadikan dalam menarik perhatian penonton dan memberikan hasil yang boleh diukur oleh para pengiklan,” katanya.
Ketua Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pada TK 2025, fokus syarikat berpaksikan tiga tunjang utama iaitu Memperbanyakkan Pelanggan Baharu, Menguatkan Perniagaan Berkaitan serta Mengurangkan Kos Legasi.
Jelasnya, pelancaran Astro Studios merupakan pembukaan satu bab baharu yang mengujakan dan ia merupakan permulaan bagi perjalanan syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penciptaan kandungan yang cemerlang.
“Di samping meningkatkan jumlah kandungan, kami juga telah memperkenalkan pakej-pakej nilai tambahan yang merangkumi kandungan utama seperti sukan dan program tempatan.
“Kami juga telah menjadikan sooka sebagai satu komponen hiburan yang penting dengan pelancaran sooka TV Stick yang membolehkan pelanggan menikmati sooka samada menerusi peranti peribadi ataupun di kaca televisyen.
“Berbekalkan inovasi kandungan dan tekonologi yang berterusan, kami bersedia untuk mengukuhkan keudukan kami sebagai destinasi hiburan dan penstriman utama di Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE