TUMPAT – Sepasang suami isteri bimbang nasib anak lelaki mereka yang berkemungkinan menghidap kanser payudara selepas bahagian tersebut membengkak dan mengeluarkan cecair sejak dua bulan lalu.
Mohd. Fairus Mat Nawi, 35, dan isterinya, Wan Nor Nazirah Wan Kasim, 31, ketika ini tidak mampu untuk membawa anak kedua mereka, Mohd. Shukri, 13, berjumpa dengan doktor pakar kerana kekangan kewangan.
Wan Nor Nazirah berkata, dia dan suami kini buntu dan terkejut dengan keadaan yang menimpa Mohd. Shukri kerana penyakit tersebut berlaku secara tiba-tiba.
Katanya, sebelum ini dia fokus menjaga anak bongsu, Nur Aira Sofea, 3, yang mengalami komplikasi paru-paru akibat jangkitan Covid-19 sehingga menyebabkan dia sering sesak nafas sejak berusia sembilan bulan.
“Kini Mohd. Shukri pula yang sakit. Dia berkemungkinan besar menghidap kanser payudara apabila bahagian kanan bahagian itu membengkak sehingga mengeluarkan cecair.
“Dia juga sering mengalami pening dan lemah. Doktor di klinik kesihatan memaklumkan Mohd. Shukri mempunyai simptom-simptom kanser payudara, tetapi pengesahan penyakit itu hanya akan diketahui selepas bertemu pakar,” katanya ketika ditemui di Kampung Kutan, di sini semalam.
Menurut Wan Nor Nazirah, anaknya hanya bertahan dengan ubat tahan sakit dan suaminya akan membawa Mohd. Shukri untuk rawatan di klinik kesihatan jika sakitnya berterusan.
Tambahnya, antibiotik dan ubat tahan sakit yang dimakan masih tidak dapat mengurangkan kesakitan pada bahagian itu.
“Klinik kesihatan minta kami segera berjumpa pakar tetapi ia melibatkan kos yang tinggi. Gaji harian kami sebanyak RM70 sebagai pembantu gerai pisang goreng dan tukang rumah tidak mampu tampung belanja,” katanya.
Ujar Wan Nor Nazirah, tiga ahli keluarganya menghidap pelbagai penyakit dan dua daripadanya sudah meninggal dunia.
“Saya dan suami ketika ini perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada Mohd. Shukri dan Nor Aira Sofea. Kami mahu kedua-dua anak ini sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Nor Nazirah di talian 011-6421 7598 atau terus ke akaun Bank Islam atas namanya, 03148020025750.