fbpx

NMSB lantik lima vendor T0 untuk kilang automotif Chembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SM AZLI (belakang, tiga dari kiri) bersama rakan kerjasama pada majlis pemeteraian memorandum di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – NexV Manufacturing Sdn. Bhd. (NMSB) memeterai memorandum persetujuan (MoA) dengan lima vendor tempatan peringkat sifar (T0) dalam usaha untuk memasang dan menghasilkan kenderaan elektrik secara tempatan.

Ia susulan majlis pecah tanah kilang pembuatan kenderaan tenaga baharu (NEV) NMSB seluas 30 hektar di kawasan perindustrian Chembong, Negeri Sembilan pada Januari lalu.

Vendor T0 merujuk kepada ‘kilang dalam kilang’ yang mana vendor bertanggungjawab untuk komponen atau sistem tertentu menyediakan operasi, tenaga kerja dan sistem pengurusan mereka sendiri, semuanya dalam ekosistem aliran proses pembuatan penuh yang lebih besar.

Konsep baharu ini membolehkan pengurusan proses pemasangan dan aliran barangan lebih cekap.

Lima syarikat terlibat ialah PHN Industry Sdn. Bhd., Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., Noble Star Parts Sdn. Bhd., Evan Karl Holdings Sdn. Bhd. dan KNR Biz Solution Sdn. Bhd.

Pengerusi NMSB, Datuk SM Azli berkata, kejayaan syarikat dalam sektor NEV berkait rapat dengan kerjasama vendor T0.

“Vendor ini menyediakan komponen dan teknologi kritikal yang menjadi tulang belakang kepada produk NEV kami.

“Dengan kerjasama mereka, kami dapat memastikan rantaian bekalan yang lancar untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama di sini, hari ini.

Majlis sama turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara NMSB dengan Central Auto Distributors Bhd. dan Wise Star Assets Sdn. Bhd., dengan niat untuk melantik NMSB bagi pemasangan jenama termasuk NEV Dongfeng dan bas elektrik Skywell.

Fasa pertama kilang NEV NMSB di Chembong, yang termasuk kemudahan pemasangan dan litar ujian dijangka siap menjelang Oktober 2024, dengan operasi pengeluaran bermula pada Mac 2025 dengan kapasiti permulaan 30,000 unit setahun.

Ia memiliki potensi untuk meningkatkan pengeluaran kepada 50,000 unit kenderaan setahun dan bersedia memenuhi permintaan untuk pemasangan tempatan termasuk daripada jenama automotif luar negara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI