KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfokuskan tiga perkara bagi meningkatkan kedudukan negara dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan positif negara yang berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 (Tier 2) merupakan sesuatu yang membanggakan.
Katanya, dalam laporan itu juga disebut beberapa perkara yang masih belum dipatuhi sepenuhnya dan KDN komited untuk melonjak ke Tier 1 pada masa akan datang.
“Susulan itu, saya menggariskan tiga perkara dalam usaha untuk mencapai Tier 1 iaitu ‘capacity building’, yang kedua ialah kerjasama antara agensi dan mengekalkan indikator penilaian selain menambah baik perundangan.
“Dengan peningkatan tahap ini, kita tiada lagi kerisauan mengenai sekatan pasaran produk yang dihasilkan industri perladangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Kali ke-40 di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Saifuddin berkata, laporan berkenaan juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.
“Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.
“Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,”katanya.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia telah dinaik taraf ke kedudukan Tahap 2 dalam laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang 2024 yang diumumkan di Washington, Amerika Syarikat semalam. -KOSMO! ONLINE